ARKIB : 15/08/2008 Utusan Malaysia
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
Bermula dengan tanaman industri seperti koko, kelapa sawit dan pelbagai
komoditi lain secara besar-besaran di kawasan Balung Tawau, Sabah, syarikat
Kebun Rimau Sdn. Bhd. mula beralih ke arah industri berasaskan herba.
Pemiliknya, Halizah Harris berkata, melihat kepada potensi yang cerah
dalam industri herba, beliau mempelbagaikan aktiviti pertaniannya.
“Dalam tahun 1990-an, kami mula mengusahakan tanaman herba seperti
mengkudu, misai kucing, kabung serta beberapa jenis ternakan,” katanya
semasa ditemui selepas majlis anugerah kepada pemenang pada perasmian
Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di
Serdang, Selasa lalu.
Beliau yang menerima Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani
bagi 2008 mula berjinak-jinak dengan industri hiliran herba semasa tahun
2000.
Memandangkan tanaman yang telah sedia ada, syarikat Kebun Rimau bercadang
untuk memulakan industri hiliran produk herba.
“Ketika itulah kami mula mendapatkan maklumat mengenai teknologi
pemprosesan jus noni, kabung dan teh misai kucing daripada Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) cawangan Kota Kinabalu.
“Sebelum itu kami memproses kabung dan jus noni secara tradisional dan
kami merasakan masanya telah tiba untuk mendirikan kilang yang menepati
Amalan Pengilangan Baik bersama-sama dengan HACCP (Analisis Bahaya dan Titik
Pengendalian Kritikal),” katanya.
Bagi membantu Syarikat Kebun Rimau, MARDI memberikan nasihat dari segi
spesifikasi mesin, pelbagai peralatan baru, membantu di dalam pemasangan dan
uji lari mesin peralatan serta menyediakan susun atur kilang ke arah
persijilan HACCP.
“Ini merupakan khidmat teknikal bagi membolehkan produk keluaran Kebun
Rimau memasuki pasaran global,” katanya yang menggunakan jenama Balung bagi
produknya.
Justeru MARDI memberikan beberapa jenis teknologi seperti teknologi
mengekstrak mengkudu dan pembotolan produk terpasteur, teknologi pemekatan
jus kabung kepada sirap dan khidmat mesin dan peralatan.
“Ketika itu hanya Kebun Rimau yang menghasilkan sirap kabung dan kami
tidak mempunyai contoh untuk diikuti kecuali bantuan yang diberikan MARDI,”
katanya.
Sejak mendapat bantuan pihak MARDI, syarikat Kebun Rimau berjaya
membangunkan sebuah kilang baru di Jalan Tun Razak, Kota Kinabalu, Sabah
dengan nilai pelaburan sebanyak RM900 ribu.
Malah syarikat berkenaan dilengkapi dengan mesin yang moden bagi
pengeluaran ekstrak noni dan pekatan jus nira dan bulan Ogos lalu, kilang
berkenaan telah ditauliah dengan sijil HACCP oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia.
Selain ekstrak noni, kebun Rimau juga mempunyai freeze dryer untuk
menghasilkan serbuk daripada ekstrak noni.
“Serbuk ekstrak merupakan kualiti paling tinggi dalam pemprosesan makanan
yang setaraf dengan makanan angkasawan,” katanya.
Kini syarikat Kebun Rimau yang mempunyai 20 orang tenaga kerja mempunyai
kapasiti pengeluaran ekstrak jus noni dan pekatan jus nira sehingga 400 tan
setahun.
Syarikat Kebun Rimau menerima tempahan yang besar dari Jerman bagi
ketiga-tiga produk yang dikeluarkan.
“Kami juga sedang dalam perancangan untuk menjalankan pertanian kontrak
bagi tanaman misai kucing, nira dan mengkudu di daerah Tawau dan sekitarnya.
“Secara tidak langsung ini dapat menambahkan pendapatan penduduk di
kawasan sekitar dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.